Senin, 07 Juni 2010

Pengertian Pertanian

Pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan, dan perhutanan. Ia merupakan
perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan
lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Kajian
pertanian dikenali sebagai sains pertanian.
Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik, termasuk cara meluaskan tanah untuk bercucuk tanam dengan
membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain. Penanaman tanaman di tanah suai tani dan penternakan haiwan di
kawasan ragut merupakan asas pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk
pertanian telah menjadi perkara yang dipentingkan. Di dunia maju, julat bentuk tersebut biasanya terbentang antara
pertanian mampan (misalnya, permakultur dan pertanian organik) dan pertanian intensif (misalnya, pertanian
perindustrian).
Agronomi (ilmu pertanian) moden, pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja, serta juga peningkatan teknologi
telah menambah hasil tanaman secara mendadak tetapi pada waktu yang sama, sangat menjejaskan ekologi dan
kesihatan manusia.[1] Pembiakbakaan pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif (dengan
amalan yang serupa juga dipergunakan untuk ayam) juga meningkatkan keluaran daging, tetapi menimbulkan rasa
bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan kesihatan antibiotik, hormon pertumbuhan, dan bahan kimia yang lain yang
umum digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.[2]
Keluaran pertanian utama secara umum boleh digolongkan kepada makanan, gentian, bahan api, bahan mentah, bahan
farmaseutik, dan perangsang, serta beraneka jenis keluaran hiasan dan lepa hiasan yang eksotik. Pada 2000-an,
tumbuhan telah ditanam terutamanya untuk menghasilkan:
biobahan api, bahan farmaseutik,[3] bahan biofarmaseutik, dan bioplastik; [4]
makanan, misalnya bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan, dan daging;
gentian, misalnya kapas, bulu biri-biri, hem, sutera, dan flaks;
bahan mentah, misalnya kayu gergaji, dan buluh;
perangsang, misalnya tembakau, alkohol, candu, kokaina, dan digitalis;
biobahan api, misalnya metana (daripada biojisim), etanol, dan biodiesel;
keluaran hiasan, misalnya bunga potong, dan tumbuhan semaian, serta juga ikan dan burung tropika untuk
perdagangan haiwan kesayangan; dan
bahan lain yang berguna, misalnya damar.
Walaupun pada 2003, bilangan pekerja pertanian tidak sebegitu banyak, namun kerana kesedaran terhadap pentingnya
pertanian, jumlahnya naik dengan pesat pada 2008. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan melebihi pertanian sebagai
sektor ekonomi yang menggaji paling banyak orang di seluruh dunia pada tahun itu.[5] Meskipun pertanian menggaji
melebihi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia pada 2007, pengeluaran pertanian hanya menyumbangkan kurang
daripada 5% keluaran dunia kasar (iaitu jumlah kesemua keluaran dalam negara kasar (KDNK).[6]